Sunday, July 25, 2010

MAYAT PEMUDA TERSENYUM SELEPAS DI AMPUNKAN IBU



Wajah-wajah mayat yang mendapat rahmat Allah-Gambar hiasan


Kira-kira selepas Asar, seorang pemuda dalam lingkungan 20an dibawa masuk ke bilik kecemasan Hospital Seremban akibat kemalangan jalanraya. Sewaktu di bawa masuk, saya lihat mata pemuda itu terpejam-pejam sementara mulutnya pula mengeluh dan sesekali meraung menahan sakit.


Saya dan dua orang lagi kawan yang bekerja sebagai Medical Assistant (MA) segera memeriksa tubuh anak muda tersebut yang berada diatas pengusung. Keadaannya nampak serius.


Kami perhatikan tiada kecederaan parah di bahagian luar tubuh pemuda itu. Hanya ada luka-luka kecil di tangan dan kaki, namun ia tidak membahayakan nyawa. Tetapi apabila kami memeriksa tekanan darah, di dapati tekanannya rendah.


Berdasarkan pengalaman selama hampir lima tahun sebagai MA, saya tahu jika berlaku tekanan darah yang rendah selepas kemalangan tanpa ada sebarang kecederaan luaran yang teruk, ini bermakna anak muda itu mungkin mengalami pendarahan dalaman. Kecederaan begini amat merbahaya dan boleh membawa maut.


Kami segera menyorong anak muda itu ke bilik X- ray untuk memastikan bahagian atau organ dalaman manakah yang cedera itu. Tetapi baru saja kami melangkah, kedua-dua ibu bapa serta beberapa orang saudaranya sampai. Mereka berlari-lari anak menuju kearah anak muda itu.


Saya lihat ada di antara mereka yang menangis. “Macam mana keadaan anak saya encik, “tanya ibu anak muda itu. Kami tidak dapat menjelaskannya kerana hanya doktor yang berhak untuk berbuat demikian. Kami cuma memberitahu mereka, anak muda itu kami akan bawa ke bilik X-ray. Kami juga meminta agar mereka tunggu di situ sehingga kami selesai menjalankan tugas.


Mendengar kata-kata itu, air mata ibu dan bapa pemuda tersebut mengalir laju. Riak wajah mereka jelas menggambarkan perasaan sedih yang tidak terkata melihatkan anak kesayangan mereka dalam keadaan kesakitan.


Daripada ujian X-ray yang di lakukan, kami dapati pemuda itu mengalami pendarahan di kepala. Pendarahannya agak parah dan tekanan darahnya juga mula jatuh dengan mendadak. Begitu juga dengan denyutan nadinya yang semakin lemah. Anak muda itu semakin tidak bermaya. Dia bertambah tenat.


Kami bertungkus lumus menyelamatkan nyawanya mengikut prosedur yang di tetapkan. Namun kira-kira setengah jam kemudian, kami terpaksa menghentikannya. Allah lebih sayangkan pemuda itu. Dia meninggal dunia ketika kami sedang berusaha menyelamatkan nyawanya. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun…


Ibu bapa pemuda tersebut di beritahu tentang berita sedih itu. Sebaik sahaja keluarganya di benarkan masuk melawat mayat anak muda tersebut, ibunya terus menerpa sambil meraung-raung.

“Angah…kau pergi dulu nak… ibu ampunkan kau angah…ibu halalkan susu ibu nak…ibu ampunkan kau…Ya Allah, aku ampunkan anak ini daripada segala dosanya ya Allah…!!!” kata si ibu sambil menangis tersesak-esak. Berkali-kali wanita itu mengulang kata-kata mengampunkan dosa anaknya itu. Sambil itu, si ibu mencium dahi pemuda berkenaan. Saya yang berdiri di sebelah mayat budak lelaki itu mula terasa sebak melihat betapa sayangnya ibu kepada anaknya. Saya faham, ini adalah ujian berat daripada Allah kepada anaknya.


Saya kemudiannya perlahan-lahan menoleh kearah muka anak muda itu, dan…!!! “Eh!!?? Saya terkejut. Manakan tidak, wajah pemuda itu nampak berseri, dan bibirnya yang separuh terbuka itu, tiba-tiba bergerak seolah-olah menguntumkan senyuman.


“Ya Allah, betulkah apa yang aku lihat ini? Saya berkata sendiri sambil terus memandang tepat kearah wajah pemuda tersebut. Saya dapat lihat bibirnya bergerak perlahan-lahan seperti sedang tersenyum, kemudian terhenti.


Saya menggosokkan mata, namun wajahnya tetap begitu. Tersenyum. Memang aneh, wajahnya ketika baru meninggal tadi amat berlainan sekali. Saya berada di sebelah pemuda itu ketika dia menghembuskan nafas terakhir. Saya ingat benar dengan wajahnya ketika baru meninggal. Dia pergi dalam keadaan wajahnya seperti menahan sakit. Manakala mulutnya separuh ternganga.


Masya Allah, bagaimana boleh jadi begini? Hati saya terus di hujani pelbagai persoalan. Raung tangis ibu, ayah dan kaum keluarganya seolah-olah tidak lagi saya dengari. Fikiran saya tertumpu kepada wajah pemuda itu.


Saya tak puas hati, saya yakin, ini bukannya silap penglihatan saya, tetapi ia memang benar-benar berlaku. Wajah budak lelaki itu yang tadi mulutnya separuh ternganga seperti lazimnya orang meninggal dunia kini sudah berubah! Hujung bibir anak muda itu terjungkit menampakkan wajah-wajah arwah seperti sedang tersenyum.


Lalu saya pergi kearah seorang lagi MA dan mengajaknya melihat wajah pemuda itu. Sebaik sahaja rakan saya itu melihat wajahnya, dia juga terkejut. Kami saling berpandangan. Jadi, bukan saya seorang sahaja yang nampak, tetapi ini memang benar-benar berlaku.


Kemudian, kami memberitahu pula kepada doktor yang merawat pemuda itu tadi yang baru selesai menerangkan beberapa prosedur kepada waris si mati.


Doktor tersebut bergegas ke katil tempat jenazah pemuda itu terbaring. Sebaik sahaja memandang wajah arwah, doktor itu tergamam. Dia memandang muka saya dengan penuh kehairanan. Macam mana doktor itu tidak hairan, tadi dia sendiri menjadi saksi, wajah pemuda berkenaan tidak begitu sewaktu awal-awal dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.


Saya masih belum berpuashati. Saya mendekati dua orang rakan saya yang bersama-sama cuba menyelamatkan pemuda itu tadi agar melihat wajah arwah. Sebaik sahaja mereka memandang wajah pemuda berkenaan, air muka mereka berubah. Perlahan-lahan mereka mendekati saya.


“Tadi muka arwah ni lain, sekarang tersenyum pulak. Macam mana boleh jadi macam ni?” soal rakan saya tadi dengan suara seperti berbisik. Saya hanya mampu menggelengkan kepala. Memang bibirnya tiba-tiba bergerak perlahan-lahan hingga wajahnya yang sebelum ini hambar, berubah menjadi seperti sedang tersenyum. Kami semua menjadi saksi.


Selepas pulang ke rumah, peristiwa tersebut terus bermain di fikiran saya. Adakah ini kebetulan atau ada sesuatu yang Dia hendak tunjukkan kepada kami, hambaNya yang kerdil ini?.


Sewaktu memikir-mikirkan perkara itu, tiba-tiba saya teringatkan kata-kata si ibu sewaktu meratapi kehilangan anaknya itu. “Ibu ampunkan kau, angah…ibu halalkan susu…”Ahh! Hati saya menjadi yakin. Itulah antara sebab besar mengapa jenazah itu kelihatan tersenyum. Kemaafan ibu terhadap segala dosanya selama ini adalah satu rahmat besar dari Allah swt.


Kalau di ikutkan dari perwatakan pemuda itu, saya yakin dia bukanlah daripada golongan yang kaki sembahyang atau warak . Rambutnya di warnakan perang. Memang rugged remaja itu jika berdasarkan trend remaja hari ini.


Saya tidaklah menuduh, tetapi berdasarkan pengalaman, orang yang baik budi bahasa dan menjaga amal ibadah, pakaiannya elok serta bersopan. Keadaan diri mereka juga elok, tidak mewarna rambut dan kuku atau mentatu badan.


Tetapi itu pandangan saya secara umum, yang tidak semestinya tepat. Sebab, ramai juga orang yang kita nampak macam baik, tapi perangainya …Nauzubillah…Begitu juga, ramai orang yang nampak penampilan mereka tidak elok, tapi mulia budi pekerti.


Pemuda ini pula saya tidak pasti. Saya nampak secara luarannya dia seperti bukanlah budak yang warak. Tetapi syukurlah, pemuda itu bertuah kerana mempunyai seorang ibu yang penyayang, beriman dan pemaaf. Sudah empat tahun peristiwa ini berlaku, tetapi ia masih terus melekat di ingatan saya. Seolah-olah peristiwa itu baru saja berlaku seminggu dua yang lepas. Semuanya masih terang dan jelas.


Walaupun kejadian itu seperti tidak masuk akal, tapi jangan anggap saya mengada-adakan cerita. Sesungguhnya peristiwa itu membuatkan saya berasa begitu insaf. Ibu adalah insan yang di muliakan Allah swt. Dia memelihara kita dengan penuh tanggungjawab dan bersusah payah mengandungkan kita selama Sembilan bulan.


Sesungguhnya benarlah kata orang tua-tua, syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Insya-Allah, apabila anak-anak saya besar kelak, saya akan ceritakan kisah ini kepada mereka supaya mereka tahu betapa mulianya kedudukan seorang wanita bernama ibu.


Mastika Mei 2008 (m/s 20-24)


1 comment:

  1. Saya pun pernah tengok orang India meninggal dunia. Dia pun tersenyum. Macamana tu.. Jangan disangka air yg tenang tu tak ada Jin. ;)

    ReplyDelete