Di istana raja terjadi pembicaraan antara dia dan seorang penyihir tua yang berasa bahawa usianya sebentar lagi akan segera berakhir. Sekarang, dari waktu ke waktu dia sedang menanti hari kematiannya.
Penyihir menjawab: “Paduka, sesungguhnya aku telah menginjak akhir usia dan kesihatanku telah lemah. Menurut pendapatku, kamu harus memilih seorang anak kecil untukku, dan aku akan mengajarkan sihir kepadanya, sehingga dia boleh menjadi penyihirmu. Jika aku mati, sihirku tidak akan mati dan orang-orang tetap akan menjadi hambamu.
Raja menyetujuinya, kemudian dia memerintah para kakitangannya untuk memilih anak terpintar di dalam kerajaannya untuk menjadi penyihir baru. Mereka pun memilih Abdullah bin Tamir, seorang anak yang paling cerdas di kota itu.
Abdullah berangkat ke rumah si penyihir pada hari pertama dengan penuh keceriaan dan kebahagiaan, kerana dia telah mendapat kurnia itu. Sekarang pakaian baru dan hartanya pun banyak. Dia akan menjadi penyihir raja, Tuhan yang ditakuti oleh manusia, dan dia pun akan menjadi orang yang paling terkenal di kerajaan itu setelah raja, bahkan orang yang terkaya setelah raja. Dia akan dapat semua yang dia inginkan. Pelajaran sihir pun kemudian dimulakan.
Perjalanan dari rumah Abdullah ke rumah penyihir cukup jauh dan memakan waktu lama, sehingga kadangkala dia duduk untuk berehat kerana keletihan menempuh perjalanan. Abdullah memerhatikan bahawa setiap kali dirinya melewati sebuah gua kecil di perjalanan, setiap itu pula dia mendengar suara syeikh tua menyeru: “Wahai Zat yang hidup kekal, wahai Zat yang terus-menerus mengurus makhluk-Nya, wahai Zat yang menciptakan bumi dan langit.”
Abdullah kecil tak berani masuk ke dalam gua kerana takut kepada penghuninya, iaitu seorang syeikh tua. Namun demikian, gema dari ucapan itu terus terngiang di telinganya: “Wahai Zat yang hidup kekal, wahai Zat yang terus-menerus mengurus makhluk-Nya.”
Abdullah kemudian sampai ke rumah penyihir, dan penyihir pun mula memberikan pelajaran sihir kepadanya. Namun penyihir mengetahui bahawa anak itu disibukkan oleh sesuatu. Penyihir bertanya kepadanya: “Apa yang terjadi padamu, wahai penyihir kecil?”
Tuan, sesungguhnya hari ini aku mendengar beberapa kalimat yang menyibukkan aku dari segala sesuatu.
“Kalimat apa itu?”
“Siapakah Zat yang hidup kekal dan terus-menerus mengurus makhluk-Nya? Siapa Zat yang telah menciptakan langit dan bumi?”
Penyihir marah dan wajahnya menjadi merah. Dia berkata: “Berhati-hatilah mengatakan perkataan itu, sebab kita semua adalah hamba bagi raja. Sesungguhnya kamu adalah seorang penyihir raja, maka pelajarilah sihir yang yang dapat membuat semua manusia menjadi pembantumu dan kamu akan menjadi orang terkaya di kerajaan ini, bahkan di seluruh dunia.”
Abdullah terdiam dan kembali mempelajari sihir lagi. Namun kali ini dia mencermati bahawa sihir yang dia pelajari tidak lain hanyalah silap mata, hanya tipuan yang mengelabui pandangan mata tanpa ada kenyataannya. Bahkan apa yang diterimanya hanyalah halusinasi dan ilusi belaka.
Sementara itu suara syeikh terus terngiang di telinganya: “Wahai Zat yang hidup kekal, wahai Zat yang terus-menerus mengurus makhluk-Nya.”
Telur yang dia sembunyikan disebalik salah satu lengan baju atau saku Abdullah, dia keluarkan dari lengan baju atau saku lain, lalu dia menyemburkan api dari mulut, kemudian memadamkannya kembali dan ada pula yang berupa mantera-mantera yang tidak mengandungi hal yang bermanfaat sama sekali.
Itulah yang diajarkan si penyihir raja kepada Abdullah, sehingga dia berasa bahawa dirinya tidak lebih dari seorang pelayan raja, sedang raja itu sendiri tidak lebih dari manusia lemah yang tidak memiliki kemanfaatan atau kemudaratan apa pun terhadap siapa pun. Bahkan dia adalah orang yang selalu memerlukan makanan ketika lapar, memerlukan air ketika haus, dan memerlukan ubat ketika sakit. Oh, alangkah besar ketertipuan yang telah dijalani penduduk kerajaan tersebut.
Ketika Abdullah dalam perjalanan ke rumah si penyihir, tiba-tiba dia mendengar suara itu lagi: “Wahai Zat yang hidup kekal, wahai Zat yang terus-menerus mengurus makhluk-Nya.”
Si kecil itu kemudian memaksa diri masuk ke dalam gua, hingga dia berada di dalamnya dan menemui seorang datuk tua yang sedang berdoa sambil mengangkat kedua belah tangannya seraya mengatakan: “Wahai Tuhanku, Zat yang hidup kekal dan terus-menerus mengurus makhluk-Nya . . . Tuhan langit dan bumi. Engkaulah Tuhan yang patut disembah tidak ada Tuhan selain-Mu. Engkaulah Tuhan Pemilik alam semesta, tidak ada Tuhan selain-Mu. Maha suci Engkau dan Engkau Maha Tinggi. Arasy-Mu diatas langit, wahai Zat yang Maha Penyayang. Maka, ampunilah aku dan kasihanilah aku!”
Abdullah tidak menyedari, kecuali saat air mata menitis di kedua pipinya bak mutiara yang berguguran. Tiba-tiba tanpa sedar, lidahnya mengatakan: “Aku beriman kepada Zat yang hidup kekal dan terus-menerus mengurus makhluk-Nya.”
Ketika itulah syeikh tersedar seraya bertanya: “Siapa kamu, wahai anak kecil ?”
“Aku Abdullah bin Tamir, penyihir kecil raja.”
“Bagaimana kamu boleh masuk ke sini?”
“Aku mendengarmu memanggil Tuhanmu yang hidup kekal dan terus-menerus mengurus makhluk-Nya dan ucapanmu itu mengejutkanku.”
“Wahai anakku, sesungguhnya Allah adalah Penciptaku, Penciptamu, dan Pencipta raja yang mendakwa dan mengaku secara bohong bahawa dirinya adalah Tuhan selain Allah.”
Abdullah berkata: “Allah? Oh, itu Tuhan yang Agung. Aku pernah mendengar kata-katamu itu. Tunjukkanlah kepadaku bagaimana cara agar aku dapat menyembah Allah.”
Syeikh tua kemudian mengajar Abdullah bagaimana cara menyembah dan bertasbih kepada Tuhannya. Maka menangislah mata si kecil yang kemudian berubah dewasa kerana keimanannya, yang mengungguli orang-orang dewasa yang kafir terhadap Allah.
Ketika itulah pendeta tua itu berkata: “Wahai Abdullah, janganlah kamu menunjukkan keberadaanku kepada orang lain dan sembunyikanlah keimananmu dari mereka, sebab jika raja mengetahui keadaanmu, nescaya dia akan membunuhku dan juga kamu, sehingga keimanan di muka bumi ini akan lenyap.”
Abdullah menjawab: “Aku mematuhi apa yang diperintahkan oleh syeikh yang telah menunjukkanku kepada Allah, Zat yang Maha Esa lagi Tunggal.” Abdullah kemudian pergi.
Abdullah tidak lagi peduli terhadap pelajaran sihir yang dia pelajari dari si penyihir, sebab dia tahu bahawa penyihir itu adalah orang yang banyak berdusta, sedangkan sesuatu yang dusta akan segera terbuka di hadapan orang lain, sekalipun pelakunya seorang anak kecil atau orang fakir seperti dirinya.
Sejak Abdullah beriman kepada Allah, yang terpenting dalam kehidupannya adalah pergi ke gua tempat sang pendeta, untuk mendengar tasbih dan alunan suara pujiannya, juga belajar kepadanya tentang bagaimana dia mendendangkan tasbih di waktu malam untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh kerana itulah, Abdullah sering terlewat datang ke rumah penyihir.
Jika Abdullah pergi ke rumah si penyihir, maka penyihir itu memukulnya kerana terlewat, dan jika dia kembali ke rumahnya, maka keluarganya memukulnya kerana terlewat. Dengan demikian, si kecil itu berada di antara dua perkara, di mana yang paling manis di antara kedua-duanya adalah yang paling pahit akibatnya.
Abdullah kemudian menceritakan persoalannya. Pendeta berkata memberinya nasihat: “Apabila penyihir bertanya kepadamu mengapa kamu terlewat, jawablah bahawa keluargaku menahanku.”
Oleh kerana jarak antara rumah penyihir dan rumah Abdullah jauh, si penyihir pun percaya atas apa yang Abdullah katakan dan tidak bertanyakan kepada keluarganya. Keluarga Abdullah juga percaya atas apa yang Abdullah katakan dan tidak bertanyakan kepada si penyihir. Dengan demikian, Abdullah terlepas dari kekejaman si penyihir, juga dari seksaan keluarganya.
Ketika Abdullah sedang menyusuri perjalanannya pada suatu hari, tiba-tiba dia melihat desakan manusia. Dia kemudian mendekat, ternyata dia melihat raksaksa menutupi jalan, sehingga tidak ada seorang pun yang boleh melompat atau melaluinya. Abdullah pun memungut seketul batu dari tanah, kemudian berkata: “Sekarang aku boleh mengetahui apakah pendeta yang lebih Allah cintai atau penyihir.” Dia kemudian berdoa: “Ya Allah, jika pendeta yang lebih Engkau cintai daripada penyihir, maka jauhkanlah haiwan ini dari jalan.”
Abdullah kemudian melemparkan batu itu, dan ternyata raksaksa itu pergi dan tidak menutupi jalan lagi. Abdullah kemudian meneruskan perjalanannya menuju pendeta, sedang keimanan telah memenuhi relung hatinya. Dia kemudian menceritakan kejadian yang menimpanya kepada sang pendeta.
Pendeta berkata kepadanya: “Wahai anakku, sekarang kamu lebih baik daripada aku dan sesungguhnya Allah akan memberikan cubaan kepadamu. Jika kamu mendapat cubaan, janganlah kamu tunjukkan tentang kewujudanku kepada pihak yang menyeksamu.”
Kedua-dua orang itu kemudian larut dalam solat yang panjang dan doa kepada Allah.
Raja mempunyai saudara sepupu yang buta sejak kecil. Oleh kerana itulah, dia sangat sedih atas nasib yang dialaminya. Dia selalu mencari doktor yang boleh mengembalikan penglihatan yang telah hilang itu, agar sepupunya boleh melihat seperti manusia yang lain.
Para tabib telah didatangkan, namum tidak seorang pun mampu mengembalikan penglihatannya. Meskipun si buta ini memiliki kekayaan, namun harta itu tidak boleh membahagiakannya dan tidak pula boleh mengembalikan penglihatannya.
Selanjutnya, sepupu raja didatangi seseorang yang menyampaikan khabar baik kepadanya, bahawa ada seorang tabib di kota anu yang telah dikunjungi oleh ramai orang, kemudian setiap orang yang berpenyakit itu sembuh, sehingga semua orang menyangka bahawa sang tabib memiliki kemampuan untuk menyembuhkan segala jenis penyakit.
Si buta kemudian menyiapkan berbagai hadiah dan harta, lalu berangkatlah dia mnemui si tabib yang mujarab itu, yang mampu membuat sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh tabib-tabib lain.
Sampailah si buta dan orang-orang yang bersamanya di rumah si tabib, dan mereka mendapati pesakit beratur cukup panjang yang berdiri di depan pintu rumahnya. Mereka kemudian meminta izin untuk menemui si tabib, ternyata mereka dikejutkan dengan satu kejutan, ternyata tabib tersebut adalah Abdullah bin Tamir sendiri, penyihir raja yang kini telah menjadi seorang lebih terkenal daripada semua orang, bahkan dari raja itu sendiri.
Si buta menawarkan harta dan hadiah kepada Abdullah agar dia mahu mengembalikan penglihatannya. Namum Abdullah berkata: “Aku tidak mengambil upah dan aku tidak memerlukan harta. Aku hanya perlu kamu beriman kepada Allah semata-mata.”
Si buta bertanya: “Siapa itu Allah?”
Abdullah menjawab: “Allah adalah Zat yang akan menyembuhkanmu dari penyakitmu jika aku berdoa kepada-Nya untukmu.”
“Bagaimana dengan raja? Bukankah dia itu Tuhan.”
“Apakah raja dapat menyembuhkanmu? Dia adalah hamba, aku adalah hamba, kamu adalah hamba dan kita semua adalah hamba.”
Abdullah kemudian mengusap mata si buta dengan kedua tangannya, kemudian Allah menyembuhkan dan mengembalikan penglihatannya.
Si buta pun berkata: “Aku beriman kepada Allah. Tidak ada tuhan selain Allah.”
Anak kecil yang sekarang telah menjadi tabib itu berkata: “Janganlah kamu memberitahu perihalku kepada raja, kerana dia pasti akan membunuhku dan juga kamu.”
Si buta kemudian keluar dalam keadaan sihat dan dapat melihat dan tidak memerlukan orang lagi untuk menuntunnya. Dia telah beriman kepada Allah setelah kafir kepada-Nya. Dia menyembunyikan keimanannya, meskipun terhadap anak-anak dan isterinya.
Salah seorang pengawal datang ke istana sepupu raja yang penglihatannya telah dikembalikan Allah. Pengawal itu kemudian berkata: “Raja ingin bertemu denganmu!”
Dia kemudian berangkat bersama si pengawal, tanpa memerlukan seorang pun yang membimbingnya dalam perjalanan menemui raja. Ketika dia telah bertemu raja, raja sangat terkejut melihat keadaannya dan dia berkata: “Selamat buat sepupuku yang sudah boleh melihat kembali.”
Anak saudara itu menjawab: “Segala puji bagi Allah atas hal itu.”
Mendengar itu, raja terus marah dan berkata: “Allah, apakah kamu memuji Allah di kerajaan dan di istanaku? Apakah kamu percaya kepada Allah?”
“Ya, aku percaya kepada Allah yang telah menyembuhkanku dan mengembalikan penglihatanku, wahai Raja.”
“Apakah ada Tuhan yang disembah di kerajaanku ini, selain diriku.”
“Bahkan semua orang adalah hamba di kerajaan Allah, wahai raja.”
Raja kemudian marah dan memanggil para pengawal. Mereka kemudian menyeksa sepupunya sampai dia menunjukkan kepada mereka keberadaan Abdullah.
Mereka pun mendatangkan Abdullah dan menyeksanya, hingga Abdullah menunjukkan kepada mereka tempat keberadaan sang pendeta. Ketiga-tiga orang itu kemudian dihadapkan kepada raja yang zalim itu. Raja kemudian mengikat ketiga-tiga orang itu dengan rantai besi.
Raja berkata: “Ingkarilah Allah! Jika tidak, aku akan membunuh kamu.”
Sepupu raja yang pernah buta itu menjawab: “Aku tidak akan pernah menyembah selain Allah, dan aku tidak akan menyengutukan-Nya dengan sesuatu pun.”
Perajurit pun kemudian membunuh sepupu raja, iaitu dengan cara menggergajinya dengan gergaji hingga tubuhnya menjadi dua bahagian. Mereka kemudian berkata kepada pendeta: “Ingkarilah Allah. Jika tidak, kami akan melakukan apa yang telah kami lakukan kepada si buta itu.”
Namun pendeta tetap tegas atas keimanannya sehingga mereka membelah tubuhnya dengan gergaji sampai menjadi dua bahagian.
Sekarang tiba giliran Abdullah. Mereka berkata kepadanya: “Ingkarilah Allah! Jika tidak, kamu akan jadi seperti mereka.”
Abdullah menjawab: “Allah adalah Tuhanku, dan aku tidak akan menyengutukan Allah dengan sesuatu pun.”
Mereka kemudian meletakkan gergaji di atas kepala Abdullah dan hendak membunuhnya.
Namun gergaji itu tumpul dan tidak mampan. Mereka pun mencuba membunuhnya dengan pedang, namun Abdullah tidak jua dapat dibunuh, kemudian mereka cuba membunuhnya dengan panah, anak panah dan pisau, namun mereka tetap tidak berjaya. Raja terpegun bingung di hadapan anak kecil itu. Dia tidak tahu apa yang akan dia lakukan.
“YA Allah, hindarkanlah mereka dariku dengan sesuatu yang Engkau kehendaki.”
Demikianlah doa si anak kecil itu saat dia berada di puncak bukit yang tinggi bersama kedua-dua orang pengawal yang akan melemparkannya dari atas bukit supaya dia mati, setelah semua cara dan usaha untuk membunuhnya gagal.
Allah mengabulkan doa anak kecil itu, lalu mendadak bukit itu bergoncang dan para pengawal itu terjatuh dari ketinggiannya dan mati seketika itu juga, sedang Abdullah masih tetap hidup.
Selanjutnya, dia kembali kepada raja untuk menyerunya kepada Allah, sehingga raja pun menjadi semakin berang. Raja memerintahkan para tenteranya untuk meletakkan anak itu di sampan dan membawanya ke laut, kemudian dilemparkan di sana agar mati tenggelam. Di tengah gelombang yang dahsyat, suara Abdullah melengking memanggil Tuhannya:
Sampan itu kemudian terbalik dan Abdullah selamat dari tenggelam, kemudian dia kembali kepada raja dan berkata kepadanya: “Sesungguhnya kamu tidak akan pernah dapat membunuhku, kecuali jika kamu melakukan apa yang aku perintahkan kepadamu.”
Raja berkata: “Apa yang kamu perintahkan kepadaku?”
Abdullah menjawab: “Kumpulkanlah semua orang di kawasan lapang yang luas, kemudian ikatlah aku di atas batang pohon, lalu ambillah anak panah dari tabung anak panahku dan letakkanlah ia di busurnya, kemudian katakanlah, ‘Dengan menyebut nama Allah, Tuhan anak ini. Jika kamu melepaskan anak panah itu, nescaya kamu dapat membunuhku.’”
Raja pun setuju dengan apa yang dikatakan oleh Abdullah agar dia dapat menghabisinya.
Tidak lama penduduk kerajaan itu pun berkumpul di dataran tinggi, kemudian mereka melihat Abdullah terikat di sebuah pohon. Ternyata raja memegang tabung anak panah Abdullah, kemudian mengeluarkan satu anak panah darinya. Semua orang terdiam dan suara raja terdengar kuat mengatakan: “Dengan menyebut nama Allah, Tuhan anak ini.”
Seketika dia melepaskan anak panah itu hingga mengenai kening Abdullah, maka Abdullah pun mati secara syahid. Penduduk kerajaan kemudian sedar bahawa raja mereka tidak dapat membunuh anak itu, kecuali setelah dia mengatakan: “Dengan menyebut nama Allah.” Mereka semua kemudian berteriak: “Kami beriman kepada Allah tuhan anak itu.”
Tubuh Abdullah memang telah mati, namun doa dan keimanannya tetap kekal. Raja pun menjadi bingung, sebab semua orang di dalam kerajaannya telah menjadi penyembah Allah, bukan penyembah dirinya seperti dahulu. Dia kemudian memerintahkan untuk menggali parit yang besar. Setelah itu dia memerintahkan para pengawal untuk menyalakan api, maka api yang besar pun dinyalakan. Satu demi satu mereka kemudian membawa orang-orang mukmin itu. Para tentera pun menyeru: “Apakah kamu akan mengingkari Allah atau kami akan melemparkanmu ke dalam parit berapi?”
Tidak ada seorang pun dari orang-orang mukmin itu, kecuali mereka dibakarnya di dalam parit tersebut,hingga yang tertinggal hanya seorang wanita yang menggendong bayi di kedua belah tangannya. Mereka mengambil bayi itu dan berkata: “Apakah kamu akan kembali dari iman kepada Allah? Jika tidak, kami akan membakar bayimu ini.”
Si ibu kemudian menatap bayinya dan ingin mengatakan perkataan kafir, namun Allah menghendaki dia tidak menjadi kafir sehingga bayi itu dapat berkata: “Ibu, bersabarlah. Sesungguhnya kamu berada dalam kebenaran yang nyata.”
Si ibu pun menolak kekafiran dan hanya meredhai keimanan. Maka bayi itu dilemparkan ke dalam parit tersebut. Setelah itu dia pun dilemparkan ke sana, agar pada kesudahannya raja dan para tenteranya mendapat seksaan yang amat pedih pada hari kiamat nanti.
Kisah Ash-Haabul Ukhduud ini Allah rakamkan didalam surah Al-Buruj ayat 4-10
- Demi langit dan bumi yang mempunyai gugusan bintang,
- Dan hari-hari yang dijanjikan,
- Dan yang menyaksikan dan yang disaksikan,
- Telah dibinasakan orang-orang yang membuat parit,
- Yang berapi (dinyalakan dengan) kayu bakar,
- Ketika mereka duduk disekitarnya,
- Sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman,
- Dan mereka tidak menyiksa orang-orang mu'min itu melainkan kerana orang yang mu'min itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Terpuji,
- Yang mempunyai kerajaan langit dan bumi dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu,
- Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cubaan kepada orang-orang mu'min laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar,
- Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh bagi mereka syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai itulah keberuntungan yang besar,
- Sesungguhnya azab Tuhanmu benar-benar keras,
- Sesungguhnya Dia lah Yang menciptakan (makhluk) dari permulaan dan menghidupkannya (kembali)
- Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih,
- Yang mempunyai singgahsana lagi Maha Mulia,
- Maha Kuasa berbuat apa yang dikehendaki-Nya.
- Sudahkah datang kepadamu berita kaum-kaum penentang,
- (Yaitu kaum) Fir'aun dan Tsamud?
- Sesungguhnya orang-orang kafir selalu mendustakan,
- Padahal Allah mengepung mereka dari belakang mereka,
- Bahkan yang didustakan mereka itu ialah Al-Quran yang mulia,
- Yang tersimpan dalam Luh Mahfudz.
No comments:
Post a Comment